SELANGOR

Pembangunan institusi Islam terus diberi fokus

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 JUL: Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (Pakatan) tidak pernah mengabaikan kepentingan Islam khususnya di Selangor, sejak 2018.

Calon N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ia dibuktikan apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), diberi peruntukan besar bagi menjayakan projek pembinaan dan memeriahkan rumah ibadat seluruh negeri.

Katanya, sejak 2015 hingga tahun ini, sebanyak 25 masjid baru dibina diseluruh Selangor.

“Bagi tahun sama, peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan masjid diterima JAIS sebanyak RM208.824 juta.

“Pecahan bagi peruntukan itu membabitkan RM44.1 juta (2015), RM67.4 juta (2016), RM35 juta (2017) dan RM62.3 juta (2018).

“Ini adalah peruntukan besar yang membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Utamanya, di sini.

Mohd Zawawi berkata, pada 2016, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi membina tiga Maahad Tahfiz.

“Peruntukan sebanyak RM52 juta juga diberikan bagi membina dua Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan fakta di atas, membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan dan kebajikan Islam di negeri ini.

“Jangan mempermainkan isu agama dalam kempen kali ini kerana Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan kebajikan dan kepentingan berkaitan umat Islam,” katanya.

 


Pengarang :