SELANGOR

Pemilihan KEADILAN 2018: MB enggan umum pendirian

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari enggan mengumumkan pendirian sama ada mahu bertanding atau sebaliknya pada Pemilihan KEADILAN 2018 akan datang.

Menurutnya, sekarang merupakan masa untuk memberikan tumpuan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri memandangkan beliau baru sahaja dilantik menerajui Selangor.

“Belum sampai masa untuk umum. Banyak kerja yang saya perlu lakukan bagi memastikan pentadbiran Selangor berjalan lancar. Semua itu semua beri kesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, semalam.

Menyentuh soal kedudukan Dato’ Seri Mohamed Azmin sama ada perlu kekal bertanding sebagai Timbalan Presiden atau jawatan lain Amirudin berpandangan terpulang kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk membuat keputusan.

“Itu terpulang kepada keputusan beliau. Ia juga bergantung kepada pengumuman kini dan kedudukan semasa.

“Bagaimanapun, KEADILAN sebagai sebuah parti paling demokratik dalam negara, parti pertama yang menganjurkan pilihan raya terus walaupun ramai yang mempertikaikan tetapi kita dapat lihat hasilnya sekarang.

“Kita merupakan parti yang mempunyai majoriti besar dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) sekarang,” katanya.


Pengarang :