Selangorkini
NASIONAL

Siasatan pembelian Scorpene berjalan lancar – Duta Perancis

KUALA LUMPUR 12 JUL: Siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversi berjalan lancar dengan kedua-dua pihak berkuasa dalam bidang kehakiman Malaysia dan Perancis mengendalikan kes itu, kata Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini berhubung isu itu, yang menjadi lebih utama dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dua bulan kebelakangan ini susulan pilihan raya umum lepas, Laplanche berkata kerjasama antara kedua-dua pihak adalah lancar.

“Kerjasama antara pihak berkuasa kehakiman di Perancis dan Malaysia amat baik. Mereka telah berhubung dengan Peguam Negara Malaysia yang baharu mengenai semua isu berkaitan persoalan pada masa lampau dan saya dapat merasakan kesediaan yang kuat untuk menjalin kerjasama di kedua-dua pihak.

“Isu-isu ini sedang ditangani dan dikendali oleh pihak yang kompeten,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini, yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Perancis pada 14 Julai.

Bagaimanapun, Laplanche berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut isu itu kerana ia berada di bawah bidang kehakiman Perancis, yang merupakan badan bebas di negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, telah dilaporkan berkata bulan lepas bahawa penubuhan sebuah pasukan petugas akan dibincang dalam Kabinet bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pembelian dua kapal selam Perancis pada 2002 ketika bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan.

Pada 2002, Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir STG1 bilion (US$1.17 bilion).

Pada Mei, sebaik sahaja kerajaan baharu dibentuk, Mohamad Sabu berkata, beliau perlu mendapatkan gambaran penuh berkaitan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum meneliti butiran isu dan skandal dalam ATM, termasuk pembelian kapal selam Scorpene itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :