SELANGOR

Situasi berbeza tadbir negeri selaras perubahan Kerajaan Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 19 JULAI: Perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) menghadirkan situasi berbeza bagi Amirudin Shari apabila diberi tanggungjawab selaku Dato’ Menteri Besar, sejak 19 Jun lalu.

Beliau berkata, keadaan berbeza diharunginya dalam menggalas amanah itu dan ia satu penghormatan apabila genap sebulan, hari ini.

“Esok (hari ini) adalah hari penting bagi saya dan kita semua kerana ia menandakan genap sebulan saya sebagai Dato’ Menteri Besar selepas mengangkat sumpah jawatan, pada 19 Jun lalu.

“Pastinya sebulan dilalui itu satu pengalaman dan tanggungjawab baharu bersesuaian dengan situasi dalam negara ekoran pembentukan Malaysia Baharu dan usaha meneruskan pentadbiran kukuh di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis bersama Dato’ Menteri Besar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua kepimpinan Kerajaan Negeri, termasuk jabatan dan agensi, penjawat awam serta rakyat untuk bersama mengangkat martabat juga maruah Selangor, di peringkat lebih tinggi.

Katanya, ia bagi meneruskan agenda memakmur dan memajukan negeri untuk memastikan pembangunan dinikmati terus kekal demi manfaat seluruh rakyat Selangor.

“Kita melalui proses baharu menerusi pembentukan Malaysia Baharu dan ia tanggungjawab bersama yang perlu dilaksanakan untuk terus mengangkat martabat serta maruah Selangor,” katanya.


Pengarang :