SUKANKINI

WC2018: Belgium tumbangkan Brazil, mara ke separuh akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

KAZAN, 7 JUL: Gol sendiri Fernandinho dan dan rembatan padu Kevin De Bruyne menyaksikan Belgium mengejutkan Brazil 2 – 1 untuk menempah tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2018 di sini.

Belgium mengatasi juara lima kali itu pada minit ke 13 apabila Vincent Kompany menendang hantaran Nacer Chadli dari sepakan sudut lalu terkena bahu Fernandinho hingga menerjah gawang sendiri.

Skuad bimbingan Roberto Martinez terus mengukuhkan cengkaman dengan De Bruyne (m31) menerima umpanan Romelu Lukaku lalu mengatasi penjaga gol, Alisson dengan satu rembatan tepat.

Bersambung separuh masa kedua, Brazil cuba bangkit dengan menggandakan serangan melalui gandingan Neymar dan Philippe Coutinho.

Pemain gantian, Renato Augusto (m76) menghidupkan harapan Brazil menyudahkan hantaran Coutinho dengan tandukan gagal diselamatkan Thibaut Courtois.

Skuad kendalian Tite yang berusaha mendapatkan gol penyamaan bagaimanapun buntu dengan Courtois sebagai penghalang termasuk percubaan Neymar pada babak akhir permainan.

Dengan kemenangan itu, Belgium akan berdepan Perancis dalam sepruh akhir di Saint Petersburg, Selasa ini.


Pengarang :