SUKANKINI

WC2018: Putera William harap England ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

GLOBAL, 8 JUL: Putera William menaruh harapan England terus cemerlang dan layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia, 15 Julai ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) memuji persembahan skuad kendalian Gareth Southgate ketika menewaskan Sweden 2 – 0 di peringkat suku akhir seterusnya layak ke separuh akhir.

“Anda mahu melakar sejarah @England dan anda melakukannya. Ia adalah detik mengkagumkan dalam #PialaDunia yang luarbiasa dan kami menikmatinya setiap saat.

“Anda berhak memperolehnya – Football’s Coming Home!,” katanya dipetik AFP.

Sekalipun jika England layak ke final, Putera William tidak akan hadir ke Rusia ekoran keputusan kerajaan Britain melakukan boikot diplomatik terhadap Piala Dunia 2018 susulan insiden serangan agen saraf terbaharu di barat daya England.

Penjaga gol, Jordan Pickford yang terpilih pemain terbaik menganggap England telah beraksi dengan baik bagi mengakhiri cabaran Sweden.

“Ia pencapaian besar dan penuh makna, kita membalas kepercayaan peminat yang sentiasa memberi sokongan.

“Ia situasi baik untuk menghasilkan gol terutama saat sebegini yang menghadirkan perasaan luarbiasa untuk layak ke separuh akhir Piala Dunia,” katanya.

Dalam separuh akhir di Stadium Luzhniki, Khamis ini, England akan bertemu Croatia yang menewaskan tuan rumah, Rusia, 4 – 3 menerusi sepakan penalti dalam satu lagi suku akhir.


Pengarang :