GLOBAL

Operasi selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam gua bermula

THAM LUANG, Thailand 8 JUL: Para penyelelam telah memulakan operasi menyelamat untuk mengeluarkan 12 kanak-kanak dan seorang jurulatih mereka yag terperangkap dalam gua di utara Thailand hari ini.

Ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata, misi tersebut bermula pada pukul 10 pagi waktu tempatan dan ia akan mengambil masa berjam lamanya sebelum mangsa pertama dapat dikeluarkan.

Pihak berkuasa Thailand meminta media dan pihak yang tidak berkenaan untuk meninggalkan tapak kem berhampiran pintu masuk gua di mana 12 budak lelaki dan seorang jurulatih terperangkap lebih dua minggu.

Arahan itu dikeluarkan sehari selepas ketua misi menyelamat berkata keadaan semasa dilihat sesuai untuk memulakan kerja mengeluarkan mangsa, terutama kerana bimbang hujan akan merencatkan rancangan itu.

“Semua yang tidak terbabit dengan operasi ini perlu meninggalkan kawasan ini segera. Melihatkan kepada situasi semasa, kami perlu menggunakan kawasan ini untuk membantu mangsa,” kata polis.

Polis memberi tempoh sehingga jam 9 pagi ini untuk mereka mengosongkan kawasan itu.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada usaha untuk membawa mangsa keluar dengan menyelam sejauh beberapa kilometer di dalam sistem gua Tham Luang di utara Thailand sudah bermula.

Awal minggu lalu, ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn berkata semua budak lelaki itu masih belum bersedia untuk melakukannya, namun semalam beliau melihat ada peluang untuk mereka mencuba.

“Dalam masa tiga hingga empat hari ini, keadaan semasa paras air, cuaca dan kesihatan kumpulan remaja itu sesuai untuk mengeluarkan mereka,” kata Narongsak kepada wartawan.

Hujan yang berterusan akan menyebabkan air naik ke paras tempat duduk kumpulan itu, sekali gus menyempitkan ruang sehingga kurang daripada 10 meter persegi,” tambahnya memetik laporan dari penyelam dan pakar gua.

Kematian seorang bekas anggota Tentera Laut unit SEAL Thailand yang kehabisan bekalan oksigen Jumaat lalu menjelaskan betapa berisiko perjalanan itu walau untuk seorang professional.

Pasukan bola sepak remaja Wild Boar terperangkap di dalam gua Tham Luang sejak 23 Jun lalu apabila air naik mendadak dan membanjiri sistem gua.

SUMBER: REUTERS / AFP


Pengarang :