Selangorkini
SELANGOR

Zawawi buat laporan polis atas dua tuduhan fitnah

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 31 JUL: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni, membuat dua laporan polis bagi menafikan dakwaan beliau menyokong pesta tarian gelek dan terbabit dalam penyalahgunaan dana ketika berkhidmat di sebuah sekolah, pada 1998.

Beliau mendakwa, tuduhan itu dibuat pihak tertentu dipercayai pihak lawan bertujuan menjejaskan reputasinya sebagai calon KEADILAN dan PAKATAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis.

“Dua laporan polis dibuat iaitu berkaitan fitnah mengatakan saya bersetuju dan menyokong tarian gelek bertujuan untuk memungut derma.

“Manakala yang kedua, mengatakan saya terbabit dengan isu salah guna wang ketika berkhidmat di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang, kira-kira 20 tahun lalu sebagai tenaga pengajar.

“Saya menafikan terbabit dengan dua tuduhan itu yang dipercayai sengaja diadakan bagi menjejaskan reputasi sebagai calon, dalam PRK kali ini,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau dimaklumkan berhubung isu salah guna wang sekolah itu melalui laporan media sosial yang dianggapnya sengaja direka pihak tertentu untuk kempen PRK Sungai Kandis dan jumlah wang diselewengnya juga tidak dinyatakan.

Katanya, begitu juga dengan isu tarian gelek yang tidak benar apabila beliau dilaporkan menyatakan ‘saya membuat kenyataan bahawa tarian gelek untuk Tabung Harapan tidak haram kerana niat baik’.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan ini dan ia adalah fitnah yang sengaja diada-adakan.

“Saya menolak budaya politik fitnah dan kotor kerana kita sedang mempromosikan budaya politik bersih serta sihat,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, laporan polis dibuat itu adalah bagi membantu Mohd Zawawi dan menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatqn lanjut.

“Tindakan ini bagi memberi kesedaran kepada semua pihak dan orang ramai bahawa segala perbuatan dilakukan termasuk penulisan di media sisoal tertakluk kepada undang-undang.

“Ia adalah pengajaran kepada masyarakat iaitu setiap kata-kata harus disertai dengan tanggungjawab dan fitnah seharusnya tidak berlaku,” katanya.


Pengarang :