GLOBALSAINS & INOVASI

Asteroid besar saiz pesawat Boeing 747 bakal lintasi Bumi 29 Ogos

GLOBAL 25 OGOS: Sebuah asteroid besar dianggarkan berukuran dua kali ganda daripada saiz pesawat Boeing 747 bakal melintas dan menghampiri Bumi, minggu depan.

MAIL ONLINE melaporkan, asteroid dinamakan 2016 NF23 dijangka melintasi Bumi pada 29 Ogos sekitar jarak lebih 4.8 juta kilometer atau 13 kali ganda jarak antara Bumi dan Bulan.

Batuan angkasa besar itu bergerak pada kelajuan lebih 32,400 kilometer sejam dan dianggap sebagai objek berbahaya memandangkan jarak asteroid berkenaan namun laluan asteroid itu akan membolehkannya meluncur pada jarak selamat pada awal September.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), asteroid 2016 NF23 dianggarkan mempunyai lebar 70 hingga 160 meter yang bersamaan panjang sebuah Boeing 747.

Pada ukuran 160 meter, asteroid itu lebih tinggi daripada Piramid Agung Giza di Mesir yang hanya berukuran 138 meter.

Batuan angkasa dikategorikan dalam kumpulan ‘Athens’ yang dinamakan sempena asteroid 1862 Athens.

Gambar rajah daripada Makmal Pendorongan Jet NASA menunjukkan orbit batuan itu bersilang dengan Bumi dan asteroid semakin dekat dengan planet manusia itu dalam beberapa hari menjelang 29 Ogos, pada hari asteroid mencapai titik paling dekat.

Ketika ini, asteroid itu berada kira-kira .03 unit astronomi (au) atau kira-kira 4.8 juta kilometer dari Bumi.

 


Pengarang :