GLOBAL

Washington, Beijing berbalas tarif tambahan RM65.7 bilion

WASHINGTON 25 OGOS: Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif tambahan berjumlah AS$16 bilion (RM65.7 bilion) terhadap barangan China semalam sekali gus mencetuskan tindak balas serupa oleh Beijing.

Langkah terbaharu itu melengkapkan pusingan pertama tarif berjumlah AS$50 bilion terhadap produk China yang disasarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, manakala tindak balas serupa dilaksanakan oleh Beijing.

China secara tegas menentang tarif atau cukai import tersebut, namun ia tiada pilihan kecuali meneruskan serangan balasnya, kata Kementerian Perdagangan China dalam satu ke­nyataan.

Beijing melancarkan serangan balas dengan mengenakan tarif serupa terhadap produk AS seperti motosikal Harley Davidson, lori sampah dan ratusan barangan lain.

Kementerian Perdagangan China berkata, tarif AS itu jelas ‘disyaki me­langgar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)’ dan menambah, Beijing akan mengemukakan saman terhadap Washington di WTO.

Peningkatan perang perdagangan itu berlaku ketika dua ekonomi terbesar dunia itu mengadakan perbinca­ngan rasmi pertama sejak perang perdagangan AS-China itu tercetus pada Jun lepas.

Trump melaksanakan langkah tarif itu untuk mengurangkan defisit perdagangan AS yang dianggap beliau sebagai mencuri dari rakyat negara kuasa besar tersebut.

Bagaimanapun, rakan-rakan perdagangan Washington lain telah me­lancarkan tindak balas secara agresif yang menjejaskan petani, pengilang dan pengguna AS

Dalam pada itu, pemilik-pemilik perniagaan AS semakin bimbang berhubung perang tarif tersebut yang mengakibatkan kenaikan harga kepada pengilang dan boleh menjejaskan ekonomi negara. –

SUMBER: AFP


Pengarang :