Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Bank Negara perlu bezakan hutang peribadi dan perumahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan Negeri merayu Kerajaan Persekutuan supaya Bank Negara dapat membezakan hutang yang berpunca daripada penggunaan ‘retail consumption’ seperti kad kredit, pinjaman peribadi, pelajaran dan kenderaan dengan hutang untuk pemilikan rumah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sedia maklum bahawa Bank Negara memperketatkan dasar pinjaman perumahan selepas mengambil kira statistik ‘household debt’ yang sudah mencapai tahap kritikal.

“Hutang yang berpunca daripada kad kredit contohnya untuk tujuan ‘retail consumption’ tidak akan menghasilkan sebarang pemilikan aset yang bernilai.

“Sementara, hutang pinjaman kenderaan pula hanya menghasilkan pemilikan kereta yang nilainya akan susut, dari semasa ke semasa.

“Sebaliknya, pinjaman bagi pembiayaan perumahan akan menghasilkan pemilikan aset yang lebih bernilai dan meningkat dari semasa ke semasa melalui apresiasi modal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, di Holiday Inn, Glenmarie, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri tidak sesekali mengabaikan mereka yang tidak mempunyai kemampuan memiliki rumah atas kesukaran mendapatkan pinjaman.

Oleh itu, katanya, Skim Smart Sewa diperkenalkan tahun lalu dengan peruntukan RM100 juta dan ditambah lagi RM50 juta untuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) membeli unit Rumah SelangorKu di pasaran, tahun ini.

“Ia bermatlamat membantu rakyat berpendapatan sederhana dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyewa rumah yang dibeli, bagi tempoh dua hingga lima tahun.

“Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan ini akan dipulangkan semula sebagai insentif dalam membantu mereka menyediakan deposit pembelian Rumah SelangorKu kelak,” katanya.

Amirudin berkata, inisiatif itu dilaksanakan ekoran kemelut pembeli yang berdepan dengan masalah ‘end financing’ iaitu kadar penolakan oleh bank tempatan atas permohonan bagi mendapatkan pinjaman perumahan semakin meningkat mencecah sehingga 60 peratus.

“Sehingga kini, sebanyak 842 Rumah SelangorKu sudah dan akan dibeli oleh LPHS untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa. Terkini, sebanyak 352 rumah sudah sedia untuk disewakan dengan kadar sewaan, bermula RM450 hingga RM650 sebulan.

“Manakala, pada akhir tahun ini, sebanyak 150 unit lagi dijangka akan disiapkan dan sedia untuk disewakan, manakala bakinya sebanyak 340 dijangka dapat disiapkan untuk disewakan, mulai tahun 2019 hingga 2020,” katanya.


Pengarang :