NASIONAL

Gempa bumi Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan kepada Indonesia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kerajaan Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada Indonesia yang kini berhadapan musibah gempa bumi di Lombok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail berkata, beliau membuat panggilan telefon kepada Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla petang ini untuk mengucapkan takziah di atas tragedi gempa bumi yang berlaku di Lombok baru-baru ini yang mengorbankan lebih daripada 100 nyawa dan mengakibatkan lebih 200 mangsa mengalami kecederaan parah.

“Kita juga memaklumkan kesediaan Malaysia untuk memberikan apa jua bentuk bantuan yang diperlukan oleh Kerajaan Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan Indonesia dalam menyerahkan kapal mewah ‘Equanimity’ yang telah selamat tiba di Pelabuhan Kelang pada kira-kira jam 1 petang semalam.

Selain itu, Wan Azizah turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia di atas bantuan dalam penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia Allahyarhamah Siti Nur Ies’ Mawida binti Ismail yang meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan semasa gempa bumi di Lombok, Indonesia pada 29 Julai 2018.


Pengarang :