SELANGOR

Isteri doa Zawawi terpilih ADN Sungai Kandis, bela nasib rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hazlina Razak berharap suaminya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, akan memperoleh kemenangan bagi meneruskan perjuangan membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya menyokong perjuangan suami. Apa boleh dibantu, saya akan bantu dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya kepada media selepas mengundi bersama Mohd Zawawi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di sini, hari ini.

Aktivis Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah itu berkata, beliau bersedia berkongsi jadual padat Mohd Zawawi bersama masyarakat sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) di DUN berkenaan.

“Ini kerana saya sudah terbabit dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan bersamanya hampir 25 tahun lalu bermula dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika di universiti.

“Saya rasa dari dulu lagi sudah bersedia sekiranya beliau terpilih sebagai wakil rakyat, ” katanya.

Hazlina, 48, berkata, selain menjalankan tanggungjawab menguruskan keluarga, beliau masih meneruskan aktiviti sebegitu walaupun suaminya beralih ke bidang politik.

Mohd Zawawi, calon PAKATAN dari KEADILAN berdepan saingan dua calon lain iaitu Datuk Lokman Noor Adam (Barisan Nasional) dan K Murthy (BEBAS) dalam PRK DUN Sungai Kandis, hari ini.

Ia diadakan ekoran kematian mantan ADNnya, Allahyarham Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.


Pengarang :