EKONOMINASIONAL

Kerajaan optimis prestasi ekonomi pulih dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kerajaan Persekutuan optimis prestasi ekonomi negara akan kembali pulih dalam masa terdekat menerusi pelbagai langkah pengukuhan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin berkata, pertumbuhan ekonomi yang terkesan ekoran pelaksanaan dasar pembaharuan, di samping persepsi awal pelabur asing yang mengambil langkah berhati-hati hanya bersifat sementara.

“Kerajaan mengumumkan beberapa langkah pengukuhan kedudukan ekonomi dan kewangan, termasuk menghentikan amalan kewangan tidak telus serta tidak terurus juga menangani ketirisan, pada semua peringkat pentadbiran.

“Ia (ekonomi) akan kembali pulih dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan dasar kerajaan pada masa depan akan mengimbangi objektif pengukuhan kedudukan fiskal bagi menangani sentimen pasaran dan pelabur serta rakyat.

Katanya, dasar struktur dan strategi bagi menentukan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif akan diperkenalkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

“Ia akan melengkapi inisiatif kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi, sekali gus menyumbang kepada usaha untuk menjadikan semula Malaysia sebagai negara yang dihormati dan dipandang tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Radzi berkata, penilaian prestasi ekonomi negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) belum dinilai sepenuhnya ekoran laporan ekonomi masih, pada suku pertama 2018.

Katanya, petunjuk kewangan terkini masih merekodkan aliran keluar modal sejak tahun lalu.

“Ini ekoran respon kepada pelbagai faktor, khususnya kelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan kadar faedahnya dan ketegangan perdagangan antara AS dan China,” katanya.


Pengarang :