NASIONAL

Kerajaan sita Equanimity ikut prosedur undang-undang

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Tindakan Kerajaan Persekutuan menyita kapal Equanimity yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah sah dan mematuhi prosedur undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, Amerika Syarikat menyatakan persetujuan supaya Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia, sebaik sahaja kapal layar terbabit tiba, di negara ini.

“Tindakan penahanan kapal Equanimity dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang Malaysia dan dakwaan (langgar prosedur) tidak berasas sama sekali.

“Atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan atau waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila ia sampai di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), pada sesi Pertanyaan Menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan peguam kepada ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan sita terhadap kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain.

Liew berkata, pada masa ini, kerajaan masih menunggu kepulangan Jho Low untuk menuntut kapal yang dikatakan dibeli menggunakan dana penyelewengan 1MDB.

 


Pengarang :