SELANGOR

Meja bulat belanjawan 2019 Siri 2 bincang isu perumahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 OGOS: Lebih 100 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang berkaitan perumahan hadir menyertai Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 Siri Kedua di Holiday Inn, Glenmarie, di sini, hari ini.

Bertemakan Perumahan Mampu Milik : 1 Keluarga 1 Kediaman Yang Sempurna, ia dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menerusi ucapannya, Amirudin berkata, perbincangan meja bulat itu bertujuan membincangkan dan memberi pandangan serta pendapat kepada Kerajaan Negeri bagi merangka belanjawan tahun 2019.

Katanya, beliau amat berbesar hati dan mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur seperti Pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) kerana menganjurkan sesi perbincangan itu.

“Sesi perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri komited dan tidak pernah berhenti mencari formula terbaik termasuk mendapatkan pandangan serta idea daripada ‘key players’khususnya berkaitan industri perumahan.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meneruskan penyediaaan perumahan mampu milik yang berkualiti bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bertempat di Holiday Inn, Glenmarie, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Perumahan dan Kehidupan Selangor, Haniza Talha dan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau berharap pada sesi akhir meja bulat belanjawan 2019 itu akan mendapat pelbagai cadangan yang baik dan bernas serta membantu Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat pada masa akan datang.

“Bermula April 2018, dasar perumahan ini dikenali sebagai Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang ditambah baik lagi dimana ia memberi lebih penekanan kepada aspek penyediaan kemudahan dan spesifikasi dalam memberi keselesaan kepada penghuni.

“Sehingga Julai 2018, sebanyak 49 projek pembangunan rumah mampu milik melibatkan 25,079 unit kediaman sudah mula dibina dan diduduki. Ia juga sudah melepasi sasaran sebanyak 15,000 unit yang sudah ditetapkan Kerajaan Negeri bagi tempoh 2015 hingga 2018,” katanya.


Pengarang :