NASIONAL

Merdeka: Azmin tekad pasti ekonomi terus berdaya tahan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertekad memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan, mampan dan berkembang maju seiring kemerdekaan negara, kali ke-61.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu ketidaksamaan pertumbuhan antara negeri, jurang antara kumpulan pendapatan, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup akan terus menjadi keutamaan pihaknya.

Katanya, hal itu kerana ekonomi memainkan peranan penting dalam memastikan kemerdekaan sesebuah negara kekal utuh dan menjadi cegah rintang daripada anasir tidak diingini.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana tahun ini kita masih berpeluang menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-61, apatah lagi ia disambut dalam era Malaysia Baharu.

“Semoga kemerdekaan ke-61 ini akan menjadi titik tolak kepada permulaan pertumbuhan ekonomi yang rancak, sekali gus memberi erti lebih bermakna di sebalik laungan Merdeka,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keharmonian serta kestabilan ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Seperti yang diungkapkan ahli ekonomi terkemuka dunia, Milton Friedman pada 1962, penyusunan ekonomi memainkan peranan besar untuk mengisi aspirasi kemerdekaan yang dicapai bapa pengasas Malaysia.

“Kemerdekaan kita adalah hasil keringat dan pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu, yang bukan sahaja bertungkus-lumus membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah, malah membentuk negara ini mengikut acuan serta budaya tersendiri,” katanya.


Pengarang :