BERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal mampan pada masa depan – BNM

KUALA LUMPUR 19 OGOS: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal mampan pada masa depan disokong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Keadaan pasaran pekerja yang positif dan pengembangan kapasiti pengeluaran masing-masing akan terus menyokong penggunaan swasta dan pelaburan yang teguh, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, asas-asas makroekonomi Malaysia terus teguh, lantas menyediakan penampan yang diperlukan untuk menguruskan secara berkesan kemungkinan kejutan terhadap ekonomi.

BNM mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus pada suku kedua (S-2) 2018 berikutan gangguan bekalan manakala aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu meskipun inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana namun takat penurunannya akan bergantung pada kesan pindahan berikutan perubahan dasar cukai penggunaan.

Inflasi asas yang tidak mengambil kira kesan perubahan dasar cukai penggunaan dijangka kekal stabil secara relatif pada suku-suku akan datang melalui sokongan perbelanjaan sektor swasta yang mampan.

Sementara itu inflasi keseluruhan pada S-2 menurun kepada 1.3 peratus (S-1 2018: 1.8 peratus), mencerminkan terutamanya kesan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Bagaimanapun impak pelaksanaan GST berkadar sifar ini telah diiimbangi inflasi pengangkutan yang lebih tinggi.

Namun, langkah menetapkan harga runcit Petrol RON95 sejak 22 Mac 2018 telah membantu membendung inflasi bahan api daripada terus meningkat pada suku tersebut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :