SELANGOR

PRK DUN Balakong: Siew Ki dedah rashia kekal stamina sepanjang kempen

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 26 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki mengakui, minum air mineral mencukupi dan rehat secara konsisten, menjadi amalan untuk beliau kekal berstamina sepanjang tempoh berkempen.

Siew Ki bagaimanapun berkata, meskipun jadual hariannya sangat padat sejak mula berkempen 18 Ogos lalu, tetapi masih menerapkan disiplin diri untuk tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari.

“Cuaca yang panas dan kering sangat mudah untuk jatuh sakit, jadi pasukan kempen saya sentiasa menasihatkan saya supaya berehat secukupnya, selain minum air herba serta air mineral yang banyak untuk kekal ‘hydrated’.

“Saya turut ‘mencuri’ masa lapang ketika berkempen untuk tidur sebentar kerana tidak mungkin sebagai seorang calon untuk keluar berjumpa pengundi dengan mata lebam akibat tidak cukup tidur,” katanya.

Sebelum itu, Siew Ki melakukan aktiviti senaman dan bersarapan pagi bersama Dr Ong Kian Ming serta penduduk sekitar di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain sokongan daripada pasukan PAKATAN, sokongan daripada anggota keluarganya turut membantu Wong dalam menjaga kesihatan sepanjang hari berkempen yang masuk minggu kedua.

“Apabila muka saya muncul di kaca televisyen, ibu saya akan menelefon saya untuk mengingatkan saya menjaga kesihatan ketika cuaca panas, ia sekali gus juga menaikkan semangat saya untuk kekal berstamina sepanjang berkempen,” katanya.

Menurut laman sesawang rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada bacaan sederhana di sekitar Semenanjung iaitu melebihi 50 bermula awal Ogos lepas sehingga semalam (25 Ogos).

Berdasarkan pemerhatian yang berkongsi jadual kempen pula, Siew Ki sekurang-kurangnya mempunyai satu acara setiap pagi dan petang lawatan ‘walkabout’ ke kawasan sekitar seperti pasar, pusat perniagaan, taman perumahan, gerai dan perkarangan rumah ibadat.

Jumlah lokasi berkempen itu juga tidak termasuk kempen berupa ceramah pada waktu malam yang kadangkala disertai kepimpinan parti peringkat kebangsaan sehingga lewat malam di dua atau tiga lokasi berdekatan.


Pengarang :