SELANGOR

SPR permudah OKU mengundi di PRK Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OGOS: Prihatin dengan pengundi yang terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan tempat khas bagi membolehkan golongan itu membuang undi dengan lebih selesa.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pengundi OKU yang akan mengundi di tingkat atas bangunan akan dibantu oleh petugas pilihan raya dengan membawa dan membenarkan mengundi di saluran mudah dan menyenangkan.

“Bagi keselesaan pengundi lain, sebanyak 24 saluran baru diwujudkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan adalah 115 saluran berbanding dengan 91 saluran pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Penambahan saluran ini dibuat bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, malah dua saluran khusus bagu pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, tengah hari tadi.

Othman berkata, SPR turut menawarkan kepada mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan lain yang berminat untuk menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses PRK dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi.

“Tarikh tutup permohonan sebagai pemerhati tempatan ini pada 13 Ogos 2018, sementara itu semakan daftar pemilih boleh dibuat melalui talian 0388927018 atau melalui SMS 15888, ataupun melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya


Pengarang :