SELANGOR

Sukarelawan Selangor cegah asap rokok diperlukan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 OGOS: Sukarelawan bagi Kempen Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR) diperlukan segera.

Jurucakap Selbar berkata, individu yang berminat untuk menyemarakkan kempen bebas asap rokok dan udara yang segar di negeri Selangor adalah digalakkan memohon.

Katanya, SELBAR kini dalam misi mencari sukarelawan daripada pelbagai peringkat untuk melibatkan diri dengan kempennya.

“Jika anda fikir boleh menawarkan bantuan dalam pelbagai cara, atau jika anda dapat meluangkan masa apabila SELBAR memerlukan bantuan, sila jangan malu atau segan untuk menghubungi kami.

“SELBAR sangat gembira untuk menerima bantuan daripada anda, dan sijil penghargaan akan diberikan untuk mereka yang mendaftar secara rasmi dengan kami,” katanya.

Selain itu, jurucakap tersebut turut memaklumkan terdapat banyak cara untuk menjadi sukarelawan tanpa berdaftar sekaligus memberi impak berkesan kepada kempen tersebut.

“Kami amat memerlukan orang ramai menyebarkan maklumat seperti memberitahu ahli keluarga dan rakan-rakan tentang kempen SELBAR secara lisan.

“SELBAR juga menggalakkan orang ramai yang mempunyai cerita berkaitan dengan merokok, contohnya, bagaimana rakan anda atau anda berjaya berhenti atau mengalami merokok, sila maklumkan pada kami,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook SELBAR atau terus menghubungi whatsapp http://bit.ly/SelbarVolunteer untuk pendaftaran sukarelawan.


Pengarang :