PELANCONGANSELANGOR

Tarik pelancong lawati muzium, usaha tayangan teater

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dalam usaha menarik pelancong melawat ke muzium, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) mengambil langkah untuk mengadakan sesi tayangan teater tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif, PADAT, Dato’ Paiman Keromo berkata, usaha itu bertujuan mengimbau kembali sejarah zaman dahulu dan sejarah permulaan Selangor terutamanya.

“Kita jadikan ia sebagai watak hidup supaya ramai akan tertarik untuk menonton dan pada masa sama mereka pasti lebih memahami mengenai sejarah tersebut.

“Usaha mengadakan tayangan teater ini selain menarik pelancong datang ke muzium ia juga dapat menambah pendapatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan mengambil contoh seperti negara Indonesia yang menayangkan teater Ramayana yang kini mampu menarik tiga juta pelancong dan boleh mendapat pendapatan hampir RM300 juta setahun.

Paiman berkata, untuk sampai ke tahap seperti Indonesia bukan sesuatu yang mudah namun pihaknya akan berusaha menyenglongkar kembali sejarah Selangor terutamanya untuk tatapan umum selain menarik pelancong.

Selain itu, beliau berkata, PADAT kini sedang dalam proses mahu membangunkan produk pelancongan di Selangor dengan memantapkan lagi promosi.

“Produk pelancongan kita sudah ada cuma kita mahu memajukan lagi dengan menyediakan pakej yang bersesuaian kerana apabila pelancong datang ke sini, mereka dapat memilih pakej yang disediakan.

“Pada tahun ini, Muzium Sultan Alam Shah juga menawarkan pakej lawatan khusus bagi pelancong luar negara yang berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan baharu bagi muzium,” katanya.

Sementara itu, Paiman berkata, pada minggu kedua setiap bulan, pihaknya ada menganjurkan pertunjukan kebudayaan di Muzium Sultan Alam Shah yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kita amat mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan melihat sendiri budaya negeri Selangor ini.

“Kerana kita kini dalam usaha ingin memartabatkan negeri di peringkat antarabangsa dan mengangkat identiti Selangor di persada dunia,” katanya.


Pengarang :