SELANGOR

Zuraida lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang Parlimen Ampang

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 22 OGOS: Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin, melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Parlimen Ampang, di perkarangan luar Pusat Membeli Belah Spectrum, Bandar Baru Ampang, semalam.

Beliau menyampaikan Jalur Gemilang kepada semua wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta ketua komuniti, sekitar Parlimen Ampang.

Dalam ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia mengembalikan martabat negara dengan semangat baharu sempena sambutan Hari Kemerdekaan, pada 31 Ogos ini.

“Dengan adanya kerajaan baru, tidak kira bangsa dan agama, maka kita akan terus berkhidmat kepada semua. Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan (negeri) yang ditadbir pembangkang dan bantu kerana tiada falsafah menganak tirikan,” katanya.

Zuraida berkata, beliau gembira untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-61 tahun ini kerana buat pertama kalinya pemerintahan negara bertukar dan diangkat menjadi salah seorang menteri, di peringkat Persekutuan.

“Saya gembira dapat mengucapkan Selamat Hari Merdeka sebagai menteri kerajaan menerusi saluran televisyen yang tidak pernah saya gambarkan selama ini.

“Terima kasih kepasa semua warga Ampang kerana terus memilih saya mewakili Parlimen Ampang dan akan meneruskan tanggungjawab seperti diamanahkan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut meletakkan Jalur Gemilang di kenderaan agensi kerajaan seperti polis, bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Pengarang :