GLOBAL

Amazon siasat kebocoran data sulit pelanggan

SAN FRANCISCO 17 SEPT: Syarikat perdagangan elektronik terkemuka, Amazon, menyiasat dakwaan sebahagian kakitangannya menjual data sulit pelanggan kepada syarikat ketiga terutama di China.

Menurut laporan Wall Street Journal, yang tidak memberikan perangkaan, kakitangan syarikat itu menjual data dalaman dan maklumat sulit lain, selalunya menerusi orang tengah, kepada peniaga yang menjual barangan mereka di laman web firma gergasi Amerika Syarikat itu.

Di Amazon, pelanggan boleh membeli produk secara langsung dengan syarikat berkenaan selain barangan daripada ramai penjual lain.

Amalan itu kini dalam siasatan kerana melanggar dasar syarikat.

Ia banyak membabitkan China, lapor akhbar itu, merujuk contoh orang tengah di Shenzhen yang bekerja untuk sekumpulan pekerja dan menjual maklumat pada harga AS$80 hingga lebih AS$2,000 (RM331 hingga RM8,276).

Jurucakap Amazon, dalam kenyataan ringkas berkata syarikat itu menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan itu.

“Kami tidak bertolak ansur di atas salah guna sistem kami dan jika mendapati ada kakitangan terbabit dengan perkara ini, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka, termasuk menamatkan akaun jualan, memadam ulasan, menahan dana dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Amazon menggajikan 560,000 pekerja di seluruh dunia.

SUMBER: AFP


Pengarang :