GLOBAL

Dr Mahathir dijadual bertemu Theresa May, beberapa pemimpin di New York

NEW YORK, 24 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad, yang akan tiba di sini pada Selasa (25 Sept), bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-73 (UNGA) dari 25-29 Sept, dijangka mempunyai jadual mesyuarat yang ketat dengan beberapa ketua negara dan kerajaan yang menghadiri perhimpunan agung itu.

Perdana Menteri dijangka tiba di New York bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada tengah hari Selasa dari London, selepas melakukan lawatan kerja dari 22 Sept.

Antara pemimpin dunia yang akan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir semasa UNGA ialah Perdana Menteri Britain Theresa May.

Kedua-dua Perdana Menteri itu, Dr Mahathir dan May, dijangka mengadakan pertemuan pada Rabu (26 Sept) bagi berkongsi pandangan berhubung perkara seperti ekonomi global dan maklumat terbaru mengenai langkah Brexit dan perkembangan ekonomi Malaysia.

Pada pertemuan pertama sejak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perbincangan mengenai hubungan antara kedua-dua negara.

Sebaik tiba di New York, Dr Mahathir juga dijangka menemui Presiden Iran, Hassan Rouhani pada Selasa (25 Sept) di mana perbincangan akan tertumpu kepada situasi di Asia Barat.

Dr Mahathir juga dijangka menemui Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga berada di sini bagi mengiringi Dr Mahathir, juga dijangka menemui rakan sejawatannya dari Sudan Dr Dirdeiry M. Ahmad.

Terdahulu, Saifuddin berkata, kementerian beliau menerima beberapa lagi permintaan daripada para pemimpin negara lain untuk menemui Dr Mahathir semasa tempoh berkenaan, dan menambah bahawa sebarang perkembangan akan diumumkan kemudian.

Dr Mahathir kali terakhir berucap di UNGA hampir 15 tahun lepas, pada 25 Sept 2003, kira-kira sebulan sebelum beliau bersara sebagai Perdana Menteri keempat pada 31 Okt.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :