SELANGOR

Halimey bawa isu PPR Lembah Subang pada Oktober

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 SEPT: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bakal menarik nafas lega ekoran permasalahan di situ akan dibincangkan bersama kementerian berkenaan, tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, perkara itu akan dibawa bermula Oktober ini setelah pihaknya selesai membuat pertemuan bersama penduduk dan pihak bertanggungjawab.

“Antara permasalahan utama di PPR Lembah Subang ialah lif dan tekanan air yang terlalu rendah hingga menyebabkan ada penduduk menerima gangguan ketiadaan air lebih kerap.

“Isu ini akan dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta tidak ketinggalan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Halimey berkata, setelah memegang tanggungjawab sebagai ADN, tugasannya bertambah sejak dua minggu yang lalu.

“Memang tidak dinafikan sebelum ini saya sudah sedia sibuk dengan tugas sebagai Ahli Majlis, namun setelah menjadi ADN, ada saja jemputan ke majlis perkahwinan, tidak ketinggalan program bersama masyarakat.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk melaksanakan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu,” katanya.

Halimey daripada Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi PRK Dewan Undangan Negeri Seri Setia apabila menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi, pada 8 September lalu.

Halimey, 46, yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh 13,725 undi, manakala Dr Halimah, 58, yang merupakan bekas EXCO Kerajaan Negeri mendapat 9,698 undi.


Pengarang :