Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kekuatan infrastruktur, faktor ekonomi domestik Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor sebagai negeri penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) percaya kekuatan infrastruktur adalah faktor utama perkembangan ekonomi domestik, di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, asas dalam aspek ekonomi iaitu jalan raya adalah penyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat.

Katanya, dengan adanya infrastruktur jalan raya yang lengkap, ia akan menaikkan tahap ketersampaian di sesuatu kawasan, sekali gus memberi kesan positif sama ada daripada aspek perniagaan, pendidikan, keselamatan dan sosio ekonomi.

“Mengambil contoh Empayar Rom yang diperluaskan dengan jaringan jalan raya merentasi wilayah dan benua serta infrastruktur yang tercanggih ketika itu, membolehkan ia masih digunakan sehingga kini.

“Ini membuktikan antara faktor utama perkembangan ekonomi domestik ialah kekuatan infrastruktur. Sebagai negeri penyumbang utama KDNK, Selangor adalah pusat perkembangan ekonomi negara.

“Sebagai negeri termaju di Malaysia, Selangor akan terus menerajui pembangunan yang mampan demi kemudahan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ‘stitching’ bagi projek menaik taraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari dan lawatan kerjanya, di sini.

Amirudin berkata, perhubungan masyarakat dapat dikekalkan melalui penyediaan jalan berkualiti khususnya jalan yang menghubungkan komuniti dan masyarakat setempat.

“Asas ekonomi Selangor berkembang daripada sektor perkilangan kepada sektor perkhidmatan dan salah satu unsur penting memastikan industri ini dapat berkembang dengan baik adalah melalui sistem perhubungan sama ada komunikasi atau jaringan jalan raya, udara dan air.

“Sesuai dengan gagasan ‘Smart State’ menjelang 2015, Kerajaan Negeri ingin menjadi terungul di rantau ini dalam pelbagai aspek. Oleh itu kita perlu meningkatkan kemudahan infrastruktur dan komunikasi dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan projek infrastruktur dan sistem jalan raya yang efektif demi kepentingan dan kesejahteraan bagi tujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Pada masa sama, beliau mahu pelan projek pembangunan bagi pembinaan jaringan jalan raya mengambil kira perancangan utiliti membabitkan air, elektirk dan jalur lebar disejajarkan supaya sesuatu projek pembinaan dan menaik taraf tidak menelan kos besar.

Terdahulu, Selangor juga ke hadapan dalam aspek aduan kerosakan jalan raya di bawah inisiatif Smart Selangor, aduan kerosakan menjadi mudah dan mesra pengguna.

Dengan menggunakan aplikasi Waze, pengguna boleh melaporkan aduan itu dan kemudiannya akan diterima Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) untuk diambil tindakan selanjutnya.

Sistem itu yang pertama di Malaysia dan bukti Selangor bersedia mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.


Pengarang :