AGAMASELANGOR

LZS jejak golongan mustahiq empat kariah masjid

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 1 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited melaksanakan khidmat bakti berterusan dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan untuk sama-sama memberi keceriaan kepada mereka.

Terbaharu, LZS mengadakan program Jejak Kemiskinan bagi menjejaki golongan yang berhak menerima zakat (Mustahiq) di empat kariah masjid iaitu Masjid Jeram, Masjid Simpang Tiga, Masjid Tambak Jawa dan Masjid Sungai Buloh, pada 20 Julai lalu.

Menerusi ciapan di Facebook, LZS berkata, program itu dilaksanakan bersama penolong amil kariah termasuk Sekolah Kebangsaan Jeram dalam menyalurkan senarai nama cadangan yang layak menerima bantuan.

“Hasil program tersebut, ramai asnaf fakir dan miskin baru telah berjaya ditemui dan seterusnya akan dibantu kebajikan mereka menggunakan dana zakat.

“Zakat Selangor juga sentiasa mengalukan kerjasama daripada semua pihak dalam menyalurkan info mereka yang memerlukan, bagi membolehkan kami untuk mengenalpasti kelayakan mereka dan seterusnya disantuni dengan dana zakat jika layak,” katanya.

Pada masa sama, LZS turut merakamkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Katanya, zakat itu akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dengan penuh rasa tanggungjawab.


Pengarang :