SELANGOR

MB tunai solat Jumaat bersama rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah, di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Beliau tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.10 tengah hari sebagai rangka kerja lawatan rasminya ke daerah itu sempena Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar ke Daerah Hulu Selangor.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmi Diron dan EXCO Negeri.

Amirudin turut mengambil peluang beramah mesra dan mendekati masyarakat serta bersalaman dengan mereka.

Pada masa sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan kepada masjid berkenaan, sekali gus merasmikan Bas Smart Selangor seusai Solat Jumaat.

Rangka kerja Dato’ Menteri Besar diteruskan petang ini dengan mengadakan Lawatan Tapak ke Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa, Ampang Pecah.

Beliau turut mengadakan lawatan tapak dalam menangani isu Jalan Missing Link dari Tol Bukit Beruntung ke Persiaran Kuala Kali dan diakhiri dengan Lawatan Tapak Isu Brownfield, di Apartment Trompet, Bukit Beruntung.

Program Jelajah Maju Bersama dilaksanakan bagi mendekati masyarakat luar bandar di seluruh negeri dan meninjau keperluan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa serta fahaman politik.

 

 


Pengarang :