PBTSELANGOR

MDKL tahan 26 warga asing, serbu 10 kilang plastik haram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 21 SEPT: Seramai 26 warga asing ditahan, manakala 10 kilang plastik haram disita dalam Operasi Penguatkuasaan Kilang Haram dijalankan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), di sini, semalam.

Operasi bersepadu yang bermula jam 10 pagi itu membabitkan penahanan warga asing yang berasal dari pelbagai negara termasuk India, China, Nepal dan Bangladesh.

Ketua Operasi, Mohd Hairul Salimi berkata, ketika serbuan dijalankan hanya tujuh premis beroperasi termasuk empat daripadanya yang terpaksa dipecah masuk kerana menggunakan pelbagai taktik bagi melengahkan kemasukan pihak berkuasa ke premis masing-masing.

Katanya, sembilan daripada premis terbabit melakukan pelbagai kesalahan seperti membuat sambungan elektrik secara tidak sah, mencuri bekalan elektrik dan tiada penggunaan meter termasuk kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Sebuah premis lagi tidak dikenakan sebarang tindakan kerana ketika diserbu mereka tidak beroperasi selain tidak mempunyai mesin dan hanya menyimpan barangan mentah sahaja.

“Turut ditahan 26 warga asing yang dikenalpasti melakukan kesalahan di bawah Sub Seksyen (1) Seksyen 40 Ordinan Imigresen 1959. Kita juga menyita 15 mesin mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya dalam kenyataan.

Turut serta dalam operasi berkenaan adalah Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Pada masa sama, Mohd Hairul berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas dua premis di Teluk Panglima Garang dan Sungai Rambai, Jenjarom kerana didapati membuat sambungan secara tidak sah.

“Operasi yang berakhir pada jam 5 petang itu berjalan lancar tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

“Serbuan ini mendapat kerjasama polis, Jabatan Alam Sekitar, TNB, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan Pejabat Daerah Kuala Langat.


Pengarang :