Orang ramai yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Gombak di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 14 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Reruai hebah inisiatif negeri di rumah terbuka Aidilfitri Selangor Sabtu ini

SHAH ALAM, 25 APRIL: Reruai hebahan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) akan dibuka kepada pengunjung ketika sambutan rumah terbuka Aidilfitri negeri 27 April ini.

Bertempat di bandar Kuala Kubu Bharu, Ketua Setiausaha Sulit Dato’ Menteri Besar Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata pengunjung juga berpeluang memohon secara terus inisiatif itu pada hari berkenaan.

“Meskipun ia adalah rumah terbuka tetapi kita masih memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat berhubung program atau inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Secara tidak langsung rakyat akan tahu pelbagai manfaat disediakan Kerajaan Selangor kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Menjelaskan berhubung aspek fasiliti, Mohd Hidayat berkata pengunjung tidak perlu khuatir kerana perkhidmatan ‘buggy’ dan bas disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapat akses ke rumah terbuka.

“12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bekerjasama menyumbang tenaga dan logistik bagi membantu melancarkan majlis ini nanti. Pengunjung tidak perlu bimbang kerana surau dan tandas bergerak juga disediakan.

“Ayuh, ramai-ramai memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri Selangor dan manfaatkan fasiliti yang disediakan termasuk saksikan persembahan menarik artis antaranya Ella, Naim Daniel dan Ernie Zakri,” katanya.


Pengarang :