Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor kepada penerima ketika program penyerahan baucar subsidi tambang bas sekolah dan sumbangan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sekitar Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

26 usahawan kecil Hulu Selangor terima bantuan alatan niaga RM133,400

HULU SELANGOR, 26 APRIL: Seramai 26 peniaga kecil sekitar daerah ini menerima peruntukan RM133,400 menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (Blueprint).

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata program itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin yang diperkenal sejak 2008.

EXCO Pembasmian Kemiskinan Paparaidu Veraman berucap sempena program penyerahan bantuan subsidi tambang bas sekolah, bantuan blueprint dan sumbangan khas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sekiyar Hulu Selangor di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pelbagai peralatan diterima termasuklah mesin kisar elektrik, peti sejuk (chiller), stor lipat, dapur masak dan pelbagai lagi.

“Peralatan dan mesin ini semua akan membantu meningkatkan keupayaan peniaga kecil sekali gus menambah lagi pendapatan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas program Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Blueprint di Dewan Orang Ramai Batang Kali yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, malam tadi.

Sementara itu, peniaga Jamaliah Mat Shariff, 53, berkata beliau menerima bantuan penstoran makanan dan peti sejuk bernilai RM4,300 sekali gus membantunya menyimpan stok barang niaga lebih banyak.

Jamaliah Mat Shariff, 53,

“Saya meniaga burger jadi kadang-kala stok yang disimpan sedikit kerana tiada ruang dan tempat, jadi bila dapat bantuan ini lebih banyak stok saya boleh beli dan jualan pasti meningkat,” katanya.

Bagi Rini Hasril, 42, bantuan mesin kisar air batu campur elektrik, stor lipat dan mesin menyediakan kuih Dorayaki bernilai RM4,900 yang diterima membolehkan beliau menerima lebih banyak tempahan jamuan selepas ini dan menambah pendapatannya.

Rini Hasril, 42,

“Sebelum ini banyak tempahan jamuan, tetapi terpaksa ditolak kerana takut tidak cukup masa kerana tiada peralatan yang cukup. Jadi dengan adanya mesin elektrik selepas ini sangat membantu,” katanya.


Pengarang :