EKONOMINASIONAL

Pengerusi Maybank Asset Management Group dilantik Pengerusi MARA

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Dr Hasnita Dato Hashim sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baru.

Beliau adalah Pengerusi Maybank Asset Management Group dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.

Beliau mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam pengurusan kewangan global dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.

Hasnita mempunyai kelulusan PhD dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University.

Beliau yang merupakan ahli Institute of Actuaries itu memulakan kariernya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari.

Selain Hasnita, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan sama turut mengumumkan pelantikan ahli majlis MARA yang baru iaitu Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Dr Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Zakri Khir.

Kesemua pelantikan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2018.


Pengarang :