SELANGOR

Pindaan RUU Enakmen Keluarga Islam dibentang, hadkan umur perkahwinan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018 bagi menetapkan had umur perkahwinan di negeri itu hendaklah mencapai umur 18 tahun.

RUU itu dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagi melindungi kepentingan pasangan yang berkahwin seperti dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari pembukaan sebelum ini.

“Menjunjung titah DYMM Sultan Selangor maka pada Awal Julai 2018 satu perbincangan dilaksanakan di bawah anjuran Jabatan Kehakiman, Majlis Agama dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan Jabatan Pendidikan, Jabatan Mufti dan lain-lain bagi mencadangkan kaedah penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU itu pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos lalu untuk memaklumkan langkah meminda had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Katanya, pindaan RUU ini dibuat untuk meminda beberapa seksyen dan memasukan seksyen baru dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

“Cadangan pindaan yang dibuat ini untuk memperkemas dan memantapkan tatacara berkaitan permohonan perkahwinan melibatkan golongan bawah umur,” katanya lagi.

 

 


Pengarang :