SELANGOR

MB: Perkasa pendidikan depani cabaran industri 4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri komited akan terus menyediakan peluang pekerjaan dan memperkasakan pendidikan dalam mendepani cabaran industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sudah menggarap kebijakan jitu dan melaksanakan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikthisas Smart Selangor (IKTISASS) yang menumpukan kepada pemberdayaan golongan belia untuk menjalani kursus teknikal berkemahiran tinggi diperlukan industri 4.0 seperti aero angkasa yang makin berkembang.

“Kerajaan Negeri sudah melantik STRAND Aerospace dan Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) untuk memastikan hasrat Kerajaan Negeri ini dicapai.

“Sasaran dasar program perintis ini untuk menyediakan golongan profesional seperti jurutera daripada latar belakang berbeza mendapat pekerjaan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin berkata, IKTISASS menggarap kehendak industri di Selangor dan jalinan kerjasama rapat dengan industri melalui program perantis dan penempatan pekerjaan yang sedang dilaksanakan di bawahnya.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Switzerland iaitu Swiss Smart Factory (SSF) untuk membangunkan Malaysian Smart Factory (MSF) di Selangor iaitu satu fasiliti latihan dan kemahiran Industri 4.0.

“MSF merupakan fasiliti latihan dan pemberdayaan teknologi kilang pintar atau Smart Factory yang pertama sepertinya dibangunkan di Selangor dan di Malaysia.

“IKTISASS juga menawarkan kursus kemahiran yang lain seperti automotif dan pendawaian elektrik serta kursus jangka pendek yang lain,” katanya.


Pengarang :