BERITA UTAMANASIONAL

PRK Port Dickson: Undi 13 Oktober, penamaan 29 September

OLEH NAEEM RAFFI

PUTRAJAYA, 20 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, hari penamaan calon bagi PRK itu pula ditetapkan pada 29 September ini dengan tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 12 Oktober.

“SPR menerima pandangan pelbagai pihak dan merasakan tempoh 14 hari adalah sesuai untuk berkempen,” katanya pada sidang media khas di sini Menara SPR, hari ini.

Dalam sidang media sama, SPR turut mengumumkan Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

“Seramai 1,403 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK itu dan 39 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan keseluruhan 171 saluran mengundi.

“Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemas kini sehingga 11 September lalu,” katanya yang turut memaklumkan kos mengendalikan PRK itu berjumlah RM3.6 juta.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.


Pengarang :