BERITA UTAMASELANGOR

PRK Sungai Kandis pengajaran buat Seri Setia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 SEPT: Peratusan keluar mengundi yang begitu rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu menjadi pengajaran buat PRK Seri Setia.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, publisiti meluas dan kempen kesedaran perlu diperhebatkan untuk memastikan pengundi di kawasan terbabit lebih efektif.

“Peranan ini bukan sahaja dilakukan jentera parti politik terbabit tetapi perlu dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, media dan pelbagai pihak selain komitmen utama Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Bagi menangani isu yang berlaku di Sungai Kandis, publisiti lebih meluas perlu untuk memaklumkan senarai kawasan perumahan, taman, kampung dan flat yang terbabit dalam pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Khairul Arifin berkata, IDE turut membuat tinjauan terhadap pengundi PRK Sungai Kandis bagi mengetahui antara punca kemerosotan peratusan mengundi, di situ.

Katanya, terdapat segelintir responden berterus terang apabila tidak mengetahui mereka adalah pengundi terbabit dalam PRK berkenaan.

“Secara asasnya mood pengundi tidak sama antara pilihan raya umum dan PRK, kekeliruan juga banyak timbul di lokaliti bersempadan, justeru parti politik bertanding perlu terus menasihatkan pengundi untuk terus keluar mengundi.

“Kepada pengundi N32 DUN Seri Setia, turunlah mengundi, tunaikan tanggungjawab anda pada 8 September ini dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

 


Pengarang :