SELANGOR

PTGS komited beri khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) komited memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dilaksanakan secara terbaik kepada pelanggan.

Pengarahnya, Dato’ Zulkefli Khalid berkata, pelbagai inovasi baru diperkenalkan PTGS dalam usaha berkenaan bagi menyumbangkan peningkatan hasil Kerajaan Negeri.

Katanya, ia termasuk sistem E-Strata, E-Charting dan Smart Docket yang diguna pakai dalam pentadbiran tanah seluruh negeri.

“Sebagai contoh, idea membangunkan sistem Smart Docket tercetus selepas penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2014 yang menjelaskan perlunya penambahbaikan terhadap kaedah kutipan royalti bahan batuan.

“Di antara penemuan itu adalah kecenderungan memanipulasi maklumat pada doket memandangkan ia secara manual tanpa pemantauan ketat dan tiada penyeragaman dalam menjana laporan pengeluaran.

“Sehubungan itu, PTGS mengambil serius laporan penemuan itu dan mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sistem Smart Docket oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Pada masa sama, Zulkefli berkata, sistem Smart Docket menerima maklum balas positif dan memberi ketepatan daripada segi data, lebih efektif serta pantas.

“Saya percaya semua pemain industri akan terus menyokong penggunaan sistem ini demi menjamin masa depan negeri yang lebih ‘smart and caring’.

“Ia selaras dengan visi dan misi Kerajaan Negeri bagi melestarikan pembangunan serta kemakmuran simetri, pintar juga peduli rakyat,” katanya.

Terdahulu, Sistem Smart Docket mampu menjana pendapatan negeri sehingga RM80 juta setahun dan mengurangkan ketirisan pendapatan, kecurian dan aktiviti haram lain.


Pengarang :