NASIONAL

Seniman nafi Saleem meninggal

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 SEPT: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menafikan laporan berhubung kematian penyanyi Saleem dan mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menularkan berita palsu itu hari ini.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah berkata, tindakan dilakukan hanya mahu mengelirukan masyarakat serta tidak memikirkan perasaan keluarga penyanyi itu.

“Seniman ingin mengesahkan Saleem Iklim masih dirawat di Hospital Kajang dan dibawah pemantauan rapi hospital.

“Keadaan beliau dilaporkan stabil sehingga waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Seniman memohon masyarakat tidak terpedaya dengan berita tular dan sebarang maklumat lanjut perkembangan Saleem Iklim akan dimaklumkan pihaknya dari masa ke semasa.

“Sama-sama kita memohon kepada Allah agar Saleem Iklim segera sembuh dan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Dilaporkan, Saleem terbabit dalam satu kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Pengarang :