GLOBAL

164 maut akibat wabak Ebola melanda Congo

KINSHASA 28 OKT: Wabak Ebola yang melanda timur Republik Demokratik Congo (Congo) dilaporkan sudah meragut nyawa 164 mangsa.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Congo, berkata mereka bakal berdepan gelombang kedua wabak itu di Beni, bandar yang terletak di utara Kivu, iaitu di sempadan Uganda.

Sebelum ini, wabak berkenaan bertumpu di Mangina, iaitu bandar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Beni.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 257 kes direkodkan di rantau itu, membabitkan 222 kes disahkan Ebola, manakala 35 kes mungkin Ebola, sejak wabak berkenaan tercetus awal Ogos,” kata Kementerian Kesihatan Congo dalam satu buletin yang diterbitkan Jumaat lalu.

Pada 17 Oktober, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan angka kematian akibat Ebola meningkat kepada 139 orang.

Gelombang kedua Ebola itu dipercayai berpunca daripada keengganan rakyat Congo untuk menyertai kempen pencegahan yang dilakukan untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Khamis lalu, kira-kira 1,000 pelajar berarak di sepanjang jalan raya di Beni bagi mendesak kempen menentang wabak Ebola. –

SUMBER: AFP


Pengarang :