PBTSELANGOR

40 pelajar jaya ‘Aspirasi Mural’ Pantai Kelanang MDKL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KELANANG, 1 OKT: Seramai 40 sukarelawan terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) terbabit menjayakan Program Aspirasi Mural bagi memperindah Pantai Kelanang, di sini, pada 26 hingga 28 September lalu.

Program selama tiga hari itu diperhebat dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sebagai langkah memelihara kawasan pantai yang berpotensi menjadi pusat pelancongan dan rekreasi kepada orang ramai.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, kerjasama sejak 2016 dijalinkan antara pihaknya dan KKKL itu berjaya menceriakan beberapa kawasan, terutama di daerah berkenaan.

“Program ini bertujuan mewujudkan suasana ceria dan harmoni serta menambah ilmu pengetahuan baharu kepada pensyarah juga pelajar dalam menghasilkan mural berkualiti, sekali gus memberi manfaat kepada mereka juga pengunjung.

“Selain itu, dengan adanya program seperti ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan kawasan pantai serta tidak melakukan sebarang aktiviti vandalisme,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, mural yang dihasilkan itu bertemakan pelancongan dan pengembaraan, memandangkan daerah Kuala Langat mempunyai tiga pantai seperti Pantai Morib, Pantai Cunang serta Pantai Kelanang.

Katanya, daerah terbabit turut terkenal dengan pelbagai kawasan tarikan pelancongan seperti aktiviti sukan ekstrem paragliding di Bukit Jugra, Muzium Insitu Jugra, Istana Bandar, Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Kaum Mah Meri Pulau Carey, litar Go-Kart dan ‘Pocket Bike’.

“Kawasan ini adalah ejen kepada MDKL untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong bagi memilih daerah ini sebagai destinasi pelancongan mereka,” katanya.

Justeru, beliau berharap orang ramai dapat memberi kerjasama untuk menjaga kebersihan dan memelihara kawasan pantai, selain mengelakkan membuang sampah di merata tempat serta menjauhi aktiviti vandalisme.


Pengarang :