BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2019 bakal fokus potensi lebih besar buat rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 OKT: Belanjawan 2019 Negeri Selangor dijangka memberikan tumpuan kepada potensi pembangunan di semua peringkat di samping menilai serta memperkasakan semua program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selepas 10 tahun tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri berubah, pendekatan baharu perlu dilakukan supaya semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik serta sampai kepada rakyat.

“Belanjawan Persekutuan akan dibentangkan awal bulan hadapan sementara di peringkat Selangor pada penghujung November diharapkan akan mampu melimpahkan beberapa perkara dan potensi baharu untuk kita lakukan pada tahun hadapan.

“Beberapa fokus dan potensi program baharu akan kita lihat khususnya bagi peringkat daerah selain pendekatan baharu untuk IPR,” katanya pada Majlis Himpunan Pagi Bersama Kakitangan Awam di Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bersempena Jelajah Maju Bersama ke Daerah Gombak, hari ini.

Beliau berkata, keupayaan merancang dan pelaksaan baik akan diteruskan kerana ia menjadi resepi terbaik kejayaan Selangor selama ini.

Keadaan ini menyaksikan Selangor menjadi modul terbaik yang membawa kepada perubahan tampuk pemerintahan di Putrajaya, pada 9 Mei lalu.

Katanya, kesepaduan kerjasama antara pimpinan Kerajaan Negeri, penjawat awam dan rakyat penting supaya setiap arahan yang diberikan mampu dilaksanakan penuh berhemah.

“Tempoh peralihan di Putrajaya mungkin menjadi perkara baharu tetapi di Selangor ini bukan satu kejutan.

“Setiap arahan diputuskan pimpinan Kerajaan Negeri diharapkan akan dapat dilakukan dengan baik tanpa berlaku kejutan budaya atau perkara tidak diingini seperti kecurian atau salah guna kuasa,” katanya.


Pengarang :