GLOBAL

Britain dakwa perisikan tentera Russia dalang serangan siber global

LONDON 4 OKT: Britain menuduh perisikan tentera Russia hari ini menganjurkan sejumlah serangan siber bertujuan melemahkan demokrasi Barat dengan mencetuskan kekeliruan dalam segala-galanya daripada sukan sehinggalah pengangkutan dan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Dalam satu penilaian Britain berdasarkan hasil kerja Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC), perisikan tentera Russia (GRU) dianggap sebagai penyerang siber perosak yang menggunakan rangkaian penggodam untuk menyebarkan huru-hara di seluruh dunia.

GRU, kata Britain, hampir pasti menjadi dalang serangan BadRabbit dan Agensi Anti-Dadah Dunia pada 2017, menggodam Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik (DNC) pada 2016 dan mencuri e-mel daripada sebuah stesen televisyen berpusat di United Kingdom (UK) pada 2015.

“Tindakan GRU adalah melulu dan sembarangan, mereka cuba menjejaskan dan mengganggu pilihan raya di negara lain.

“Mesej kami adalah jelas, bersama sekutu kami, kami akan mendedahkan dan memberi tindak balas terhadap cubaan GRU menjejaskan kestabilan antarabangsa,” kata Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt.

Britain percaya, kerajaan Russia bertanggungjawab atas serangan itu.

Walaupun kurang dikenali berbanding KGB milik Kesatuan Soviet, perkhidmatan perisikan tentera Russia memainkan peranan utama dalam sesetengah acara terbesar sejak beberapa kurun lalu, daripada krisis peluru berpandu Cuba sehinggalah pendudukan Crimea.

Britain berkata, GRU dikaitkan dengan sejumlah penggodam termasuk APT 28, Fancy Bear, Sofacy, Pawnstorm, Sednit, CyberCaliphate, Cyber Berkut, Voodoo Bear dan BlackEnergy Actors.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :