SELANGOR

Karnival Rasa Sayang Malaysia rai kepelbagaian tradisi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OKT: Karnival Rasa Sayang Malaysia anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 pengunjung, di Dewan Serbaguna Damansara Utama.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, karnival yang berlangsung pada 29 September lalu itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi yang menjadi simbol keunikan rakyat Malaysia.

“Latar kepelbagaian kaum tidak seharusnya dilihat dari sudut pandang perbezaan yang dibawa setiap kaum tetapi sebaliknya diraikan semua lapisan masyarakat, di negara ini.

“Malaysia negara yang unik, mempunyai pelbagai perayaan dan festival untuk disambut bersama semua lapisan masyarakat.

“Kita mempunyai pelbagai budaya dan tradisi termasuk daripada segi permainan, makanan, pakaian dan seni kebudayaan menarik untuk dipentaskan dalam pelbagai jenis acara daripada pelbagai latar kaum yang mencerminkan keunikan Malaysia,” katanya.

Karnival yang turut mendapat kerjasama Pusat Wanita Berdaya dan Majlis Bandara Petaling Jaya itu dirasmikan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.

Pada masa sama, Jamaliah berkata, dalam merentasi arus kemodenan hari ini, budaya dan tradisi rakyat Malaysia yang unik seharusnya diingati serta dijelmakan dari semasa ke semasa supaya generasi muda akan datang tidak berasa asing.

“Kita harap karnival ini dapat memupuk rasa kasih dan cinta sesama masyarakat dengan menghargai seni serta budaya yang menonjolkan keunikan masyarakat Malaysia,” katanya.


Pengarang :