EKONOMINASIONAL

Kerajaan jimat RM5.22 bilion daripada perundingan semula MRT2

KUALA LUMPUR 8 OKT: Kerajaan berjaya menjimatkan RM5.22 bilion atau 23 peratus daripada projek Transit Aliran Deras 2 (MRT2) melalui rundingan semula dengan rakan pelaksana projek (project delivery partner) (PDP), Syarikat Usaha Sama MMC-Gamuda.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini dapat dicapai selepas Kementerian Kewangan bersama Pejabat Peguam Negara, Kementerian Pengangkutan dan agensi seperti Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRTCo) dan sektor swasta, menjalankan kajian rasionalisasi MRT2 sejak Mei 2018.

“Susulan itu, Kabinet pada 3 Oktober lalu menerima tawaran dibuat MMC-Gamuda melalui dua surat bertarikh 15 Ogos dan 7 September lepas untuk melaksanakan kerja pembinaan atas tanah MRT2 sebagai kontraktor turnkey dengan kos RM17.42 bilion berbanding kos asal RM22.64 bilion.

“Penjimatan sebanyak RM5.22 bilion atau 23 peratus dicapai melalui pengurangan kos dan rasionalisasi skop kerja tanpa membatalkan sebarang stesen atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dan MMC-Gamuda gagal mencapai persetujuan berkaitan bahagian bawah tanah yang menyebabkan Kabinet memutuskan untuk kontrak kerja bawah tanah ditamatkan dan kesemua kerja bawah tanah yang belum disiapkan akan ditender semula melalui kaedah tender terbuka antarabangsa.

“Keputusan ini diambil selepas mempertimbangkan penjimatan tambahan yang akan diperoleh melalui tender semula pakej kerja bawah tanah berbanding tawaran dibuat kontraktor,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan mahu mendapatkan “nilai untuk wang” bagi semua perbelanjaan kerajaan terutama apabila sesuatu projek itu membabitkan pinjaman yang besar.

“Penjimatan berbilion ringgit akan mengurangkan hutang dan faedah yang perlu ditanggung kerajaan yang mana akan ditanggung rakyat melalui pengenaan cukai pada masa depan.

Katanya, lebih banyak penjimatan akan diperoleh apabila bahagian kerja bawah tanah ditender semula secara terbuka tidak lama lagi.

“Tambahan lagi, pengurangan kos yang dijangkakan untuk projek MRT2 akan mengurangkan kadar tambang yang perlu dibayar penumpang dan menggalakkan pengunaan pengangkutan awam di Lembah Klang,” katanya.

Projek MRT2 diluluskan oleh Kabinet pada 26 Februari 2014 dengan anggaran kos awal sebanyak RM28 bilion tidak termasuk fi perunding, fi PDP, faedah pinjaman dan kos operasi MRTCo.

Bagaimanapun, kos MRT2 melambung kepada RM56.93 bilion akibat faktor seperti kelulusan Skim Kereta Api (Railway Scheme) yang membabitkan jajaran baharu ke Bandar Malaysia, perubahan skop dan penurunan nilai ringgit.

Kos keseluruhan meliputi RM39.35 bilion kos pembinaan, RM6.18 bilion kos pengambilan tanah, RM0.36 bilion untuk bas perantara dan kos depot, RM1.2 bilion kos lain serta RM9.84 bilion kos faedah sewaktu pembinaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :