SELANGOR

Paras air tertinggi Pelabuhan Klang bermula esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 OKT: Paras air laut bagi Pelabuhan Klang berada pada paras tertinggi bermula 9 hingga 11 Oktober.

Smart Selangor Command Centre (SSCC), Unit Pengurusan Bencana negeri, memaklumkan ketinggian paras air laut akan mencecah 5.6 meter di persisiran pantai negeri.

Katanya, Selangor juga diramal menerima hujan pada paras tertinggi berdasarkan maklumat daripada Pejabat Meteorologi Malaysia sepanjang Oktober ini.

“Kerajaan Negeri sudah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Sekiranya berlaku hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku pada masa sama, risiko berlakunya banjir akan meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri menasihatkan supaya penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari masa ke semasa.


Pengarang :