BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri komited pulihara sungai

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 1 OKT: Kerajaan Negeri komited terhadap pembersihan dan pemuliharaan sungai bagi memastikan kelestarian sumber air, di Selangor tidak tercemar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri serius menangani isu berkenaan termasuk mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak dikenal pasti melakukan kesalahan.

“Secara amnya, sungai di Selangor tercemar akibat aktiviti dijalankan manusia seperti pertanian, pembangunan tanah, perindustrian, kumbahan, tumpahan minyak dan pembuangan sampah haram.

“Dianggarkan kira-kira 190 lokasi di Selangor yang antaranya membabitkan rizab sungai menjadi tapak pembuangan sampah haram.

“Pencemaran sumber air seperti ini didapati sering berulang dan tindakan Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan perlu lebih proaktif,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2018 Peringkat Selangor, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor mempunyai sekitar 800 batang sungai dan daripada jumlah itu, terdapat tujuh lembangan utama terdiri daripada Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Tengi, Sungai Klang, Sungai Buloh dan Sungai Sepang.

Katanya, hasil daripada laporan pemantauan kualiti air Selangor oleh Jabatan Alam Sekitar mendapati Sungai Selangor dan Sungai Bernam berada pada tahap bersih, manakala Sungai Langat, Sungai Klang, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Sungai Buloh pada tahap sederhana tercemar.

“Sungai Klang satu ketika dahulu tercemar, kini semakin menampakkan kualiti ke arah lebih bersih dan ia satu pencapaian boleh dibanggakan dengan segala usaha pemuliharaannya akan menjadikannya pada tahap bersih, pada masa depan.

“Menurut laporan Pemerbadanan Menteri Besar sejak 2015, lebih 30,000 tan metrik sisa pepejal berjaya dikutip, dibersihkan dan dikeluarkan dari Sungai Klang pada Fasa Pertama Pelan Pelancongan dan Pembangunan Semula Sungai Klang.

“Terdapat 48 mini log boom dibina di tiga lokasi berbeza bagi memerangkap sampah daripada memasukinya,” katanya.

Berhubung program itu, Amirudin berkata, ia memberi kesedaran orang awam terhadap kepentingan memelihara kebersihan sungai dan ia penting bagi memastikan kelestarian sumber air, di Selangor dapat dijaga dan dipelihara.

Program peringkat Selangor tahun ini dijalankan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di kolam takungan hiliran (ORS) Kampung Hang Tuah di sini bersesuaian dengan sambutan Hari Sungai Sedunia disambut pada Ahad minggu terakhir September setiap tahun.

Sambutan itu turut diraikan di lebih 60 negara seluruh dunia.

Turut hadir, Pengarah LUAS, Dato’ Ir Hashim Osman; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh serta Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim dan Haniza Talha.


Pengarang :