PENDIDIKANSELANGOR

Kerajaan Negeri salur dana naik taraf kafeteria asrama Selangor

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Negeri menyalurkan dana bagi projek naik taraf kafeteria asrama Selangor dalam usaha memastikan keselesaan pelajar negeri itu, di Mesir

Penyerahan cek sumbangan itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, ketika kunjungan hormat beliau dan delegasi Kerajaan Negeri ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafetaria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Sumbangan bernilai hampir RM200,000 itu diberikan bagi menjayakan pembangunan Pusat Aktiviti Pelajar Selangor yang membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti sosial sepanjang pengajian, di Mesir.

Pada masa sama, Amirudin turut mengadakan lawatan sekitar asrama terbabit bagi melihat infrastruktur sedia ada selain bertemu pelajar yang menginap di penempatan yang mampu menampung kira-kira 300 orang itu.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

 


Pengarang :