PENDIDIKANSELANGOR

KUIS terima kunjungan Kelab Thalassaemia Kedah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) buat julung kali menerima kunjungan istimewa Kelab Thalassaemia Kedah, di sini, pada 29 September lalu.

Jurucakap KUIS menerusi kenyataan di Facebook berkata, seramai 40 ahli kelab terbabit menyertai lawatan sambil belajar terdiri daripada penghidap Thalassaemia pelbagai lapisan umur.

Katanya, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada penghidap Thalassaemia berkenaan persekitaran kehidupan dan peluang untuk menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi.

“Satu sesi ceramah motivasi daripada Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin, iaitu Ahmad A’toa Mokhtar diselitkan dalam program lawatan ini.

“Ia juga sebagai suntikan semangat dan harapan kepada peserta supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa, selain menguruskan tekanan dengan baik untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Pada masa sama, KUIS berharap lawatan berkenaan bakal memberi makna mendalam terhadap peserta.

“Kami sentiasa mendoakan peserta lawatan ini akan sentiasa diberkati, dilindungi dan diberi kekuatan serta kesihatan Allah SWT dalam menjalani kehidupan yang mendatang,” katanya.


Pengarang :