dav
SELANGOR

Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak dapat sambutan

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 22 OKT: Seramai 39 peserta di daerah Sepang menyertai Program Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK), di Hotel Tune, di sini, semalam.

Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), Arba’ain Abdul Rahman berkata, kursus selama tiga hari itu mendedahkan kepada peserta berkenaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dengan cara betul.

“Program KIPK anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama RMSB sudah masuk siri keenam untuk tahun ini dan sejak ditubuhkan pada 2012, seramai 810 suri rumah di Selangor sudah menyertainya.

“Kita juga turut menguar-uarkan di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri untuk mencari mereka yang berminat menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan sijil kepada 39 peserta yang berjaya menamatkan kursus itu.

Beliau turut melahirkan keyakinan program itu akan disertai lebih ramai suri rumah kerana ia sedikit sebanyak menambah pengetahuan berkenaan penjagaan kanak-kanak.

Sementara itu, Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Nor Aien Nazail berkata, program KIPK harus dipuji kerana ia adalah kursus asas yang banyak membantu suri rumah untuk menjaga kanak-kanak dengan cara terbaik.

dav

“Di KIPK, kita minimumkan perkara yang sering berlaku dalam taska atau tadika antaranya kanak-kanak meninggal, cedera, tersedak susu dan beberapa kes lagi, namun di sini peserta akan tahu perkara yang perlu dilakukan.

“Walaupun kursus cuma jangka masa pendek, namun peserta boleh mengikuti kursus penuh yang dilaksanakan di Kursus Asuhan Permata,” katanya.


Pengarang :